Sunday, April 4, 2010

MUALAF DI BARAT


Hari ini secara tidak sengaja saya telah menonton satu rancangan yang memaparkan berkenaan nasib mualaf di negara barat melalui saluran Oasis yang diterbitkan oleh Astro. Saya tidak ingat tajuknya kerana ketika saya menonton ia sudah separuh daripada masa penyiarannya. Semasa menonton rancangan ini, saya merasa amat sebak melihat kecekalan mereka menghadapi situasi yang amat pahit dan getir setelah bergelar mualaf tambahan mereka hidup dalam kalangan rakyat yang mana majoritinya beragama Kristian. Lebih menyedihkan lagi mereka ini tidak dapat perlindungan dan bimbingan mengenai hal-hal agama sewajarnya kerana tidak ada atau kurangnya pusat-pusat yang didirikan khas untuk perkara itu. Namun apa yang saya kagum adalah ketabahan dan kesungguhan mereka dalam mengenali Islam itu amat tinggi dan tidak pula mengenal erti lelah atau putus asa. Jika saya ditempat mereka saya rasa pasti saya akan mengalah dan mungkin juga kembali kepada ajaran lama saya. Saya melihat kesabaran mereka itu seperti sahabat Rasulullah S.A.W yang sanggup menghadapi pelbagai penyiksaan tetapi tidak pula mengurangkan sedikit pun keimanan mereka malahan bertambah-tambah pula. Salah seorang mualaf dalam rancangan tersebut yang bernama Jenny merasa tenang dengan dugaan yang diterima setelah dia memeluk Islam dan melihat bahawa setiap dugaan itu menambahkan lagi keyakinannya terhadap kebenaran Islam dan semangatnya untuk menarik lebih ramai komunitinya untuk memilih Islam sebagai jalan hidup. Situasi begini seharusnya menjadi contoh kepada mualaf di Malaysia dan mereka harus bersyukur kerana mereka tidaklah menghadapi cabaran dan dugaan segetir mereka yang berada di negara-negara yang majoriti rakyatnya bukan beragama Islam kerana mereka lebih mudah mendapat perlindungan dan bimbingan berkenaan Islam secara total disebabkan mereka mualaf di negara Islam. Maafkan saya jika saya menyinggung mana-mana pihak dalam artikel ini terutamanya mualaf di Malaysia tapi itulah hakikatnya. Bagi yang sudah dilahirkan sebagai Islam, mereka harus bersyukur dengan nikmat itu kerana mereka tidak perlu bersusah payah, berkorban nyawa, harta atau apa saja untuk memiliki keimanan yang hakiki dan agama yang pasti iaitu Islam. Justeru mereka harus melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai muslim seadanya sebagai tanda penghargaan atas kurniaannya itu. Mungkin ada yang akan menganggap bahawa artikel ini bosan atau satu isu klise tapi ingatlah klise-klise pun isu ini, berapa ramai mualaf di luar sana yang betul-betul memahami Islam dan setia dengan Islam dan berapa ramai orang yang lahir dalam Islam tetapi Islam pada hanya pada nama, gaya hidup zahir dan batin semua umpama orang kafir.......maka trenung-renungkanlah......muslimin sekalian.......:0

Thursday, December 4, 2008

Kriteria-kriteria muslim kelas pertama


Hari ini dunia telah menyaksikan penganut Islam bertambah dan pertambahan yang paling ketara adalah di negara-negara Eropah. Namun dalam peningkatan jumlah ini, berapa ramaikah umat islam yang menduduki carta muslim kelas pertama dalam soal keimanan dan ketakwaan? Persoalan ini dibangkitkan kerana ramai yang mengaku mereka umat Islam yang cintakan Islam dan bertakwa namun pada hakikatnya tidak pernah melaksanakan rukun Islam dan rukun iman dengan baik. Justeru itu, bagaimana yang dikatakan sebagai umat islam kelas pertama? Maka disini akan dinyatakan kriteria penting dalam menentukan umat islam mampu menjadi muslim kelas pertama berdasarkan firman-firman Allah dalam surah Furqan mulai ayat 63 sehingga 74.

Pertama, apabila dia berjalan di muka bumi Allah ini, dia akan sentiasa tunduk pada kebesaran Allah dan tidak merasa takbur. Dan apabila dia dicela dan ditindas oleh orang yang jahil dan jahat maka diakan mengucapkan selamat yakni sentiasa berbuat baik terhadap mereka. Firman Allah dalam ayat 63,surah al-furqan :

“ hamba- hamba Allah yang Maha Pengasih, ialah orang yang berjalan di muka bumi Allah dengan tenang( tidak sombong), jika mereka dicela oleh orang yang jahil, mereka mengucapkan selamat.”

Kedua, hamba Allah yang sentiasa bangun pada malam hari (qiamullail) dan bersujud dengan penuh khusyuk dan tawada’ serta sentiasa mengharapkan keredhaan Allah. Firman Allah ayat 64:

“dan orang-orang yang pada malam harinya bersujud dan bersembahyang kepada tuhannya.”

Ketiga, hamba Allah yang sentiasa merasa berdosa dan takutkan siksa Allah yang maha pedih lalu sentiasa berdoa memohon Allah menjauhi dirinya daripada azab siksa Allah. Firman Allah dalam ayat 65:

“dan orang-orang yang berkata : ya tuhan kami, hindarkanlah siksa neraka daripada kami. Sesungguhnya siksanya mesti menimpa ( orang-orang kafir).”

Keempat, hamba Allah yang suka menyedekahkan hartanya di jalan Allah. Dia juga tidaklah kedekut dan tidak juga terlalu suka membazirkan hartanya di jalan yang sia-sia, sekadar hidup bersederhana. Firman Allah dalam ayat 66:

“dan orang-orang yang menafkahkan (hartanya) tanpa berlebih-lebihan dan tidak pula kikir melainkan pertengahan antara keduanya.”

Kelima, hamba Allah yang tidak pernah mensyirikkan Allah,membunuh manusia lain dan tidak pernah melakukan kemaksiatan seperti zina. Firman Allah dalam ayat 68:

“ dan orang-orang yang tiada menyembah tuhan yang lain bersama Allah,tiada pula membunuh manusia yang diharamkan Allah, kecuali dengan kebenaran dan tidak pula mereka berzina. Barangsiapa yang berbuat demikian, nescaya menemui dosa(siksa)”

Keenam, hamba Allah yang sentiasa memelihara diri mereka daripada menjadi saksi palsu atau penyebar fitnah dan tidak suka kepada perbincangan yang sia-sia. Firman Allah dalam ayat 72:

“dan orang-orang yang tidak mahu menjadi saksi palsu, jika mereka lewat( menghampiri) dengan bicara kosong,mereka lewat sebagai orang yang mulia.”

Ketujuh, hamba Allah yang sentiasa memerhati dan mendengar sebaik-baiknya peringatan Allah dan tidak melanggar setiap arahan Allah. Firman Allah dalam ayat 73:

“ dan orang-orang, jika diberi peringatan dengan ayat-ayat tuhan, mereka tidak menerima dengan telinga pekak dan mata buta(malahan diturutinya).”

Kelapan, hamba Allah yang sentiasa mengharap dan meminta sesuatu yang baik dalam kehidupannya. Meminta isteri yang solehah dan anak-anak yang terdidik serta menjadi contoh teladan kepada masyarakat. Firman Allah dalam ayat 74:

“dan orang-orang yang berkata : ya tuhan kami, berilah kami isteri-isteri dan anak-anak yang menggirangkan hati kami, dan jadikanlah kami imam( ikutan) bagi orang-orang yang bertakwa.”

Jadi, berdasarkan kriteria ini luluskah kita sebagai hamba Allah yang benar-benar beriman dan bertakwa? Maka kita sebagai umat islam, seharusnya meneliti diri-sendiri dan letakkan diminda kita apakah kita ini sudah boleh dikelaskan sebagai muslim kelas pertama. Justeru, ingatlah tuhan tidak mengubah sesuatu itu tanpa usaha daripada pihak kita. Renung-renungkanlah manusia sekalian…………

Sunday, November 30, 2008

blog pertama saya

selamat datang ke blog saya